AHLAN YA RAMADHAN. (MUHASABAH CINTA RAMADHAN)
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredhaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (Hadis Riwayat Bukhari)
Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Kerana dengan limpah kurnianya kita dapat ketemu lagi Ramadhan 1432 Hijrah, 2011 masihi.
Ramadhan, apabila disebutkan tentang Ramadhan. Pasti terbayang dibenak kita tentang menahan diri dari segala perkara yang boleh membuatkan kita terbatal dari ibadah ini bermula terbit fajar hingga terbenamnya fajar. Setelah puasa disiang hari, maka dituntut pula untuk kita mengerjakan solat terawih di malam hari, sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Bersahur kala dinihari, sebagai persediaan menghadapi siang harinya. Membayar zakat fitrah. Itulah rutin kita.
Terpeliharakah anggota kita ?Mungkin perut dapat kita pelihara ia daripada makan dan minum disiang hari, tetapi bagaimana waktu kita bersahur dan berbuka. Makan dengan tidak berpada, hingga menjadi berat untuk melakukan amal. Bila kekenyangan, lupa mengucapkan syukur, badan menjadi lesu dan akhirnya ibadah fardhu ditinggalkan. Makanan yang dibeli di bazar begitu banyak sehingga menimbulkan pembaziran.tidak habis, dibuangkan.
Bagaimana dengan mata kita, terpeliharakah ia dari segala pandangan yang meliarkan hawa nafsu, bagaimana pula dengan telinga, terjagakah ia dari mendengar perkara yang tidak bermanfaat. Tangan kita, menghala ke arah kebaikan atau keburukan. Kaki kita, melangkah ke manakah ia. Hati kita , bersihkah dari segala prasangka. Sungguh berat termasuk diri yang menulis ini untuk memeliharanya.
Tujuan puasa itu adalah untuk melatih kita menjadi hambaNya yang bertaqwa seusai firman Allah didalam surah Al-Baqarah
“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan keatas kamu puasa (Ramadhan/perintah wajib) sepertimana telah difardhukan kepada orang-orang yang terdahulu dari kamu,(puasa orang dahulu) semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa” (Al-Baqarah : 183)
Sedang laluan untuk orang bertaqwa ibarat ranjau di sepanjang jalan. Penuh onak berliku. Begitulah juga orang yang berpuasa. Selain menahan diri dari makan dan minum, menjaga anggota badan sebarang perkara yang boleh mengganggu jalan ketaqwaan kita. Lalu bagaimana kita ingin menjadi hamba yang bertaqwa, kalau masih ditakuk yang lama puasa kita?
Puasa juga menuntut kita supaya menjaga segala tingkah dan perilaku dari segala perkara yang menghasilkan dosa dan kemaksiatan. Pelihara anggota dan diri pasca Ramadhan . Amalan ibadah yang wajib diperkemaskan, amalan sunat dipertingkatkan, dosa-dosa kecil ditinggalkan, dosa-dosa besar dijauhkan.
Puasa juga mengingatkan kita supaya bersyukur dengan nikmat pemberian Allah. Andai kata kita diberi ujian kemiskinan, dan tiada apapun makanan untuk diisi didalam perut, maka disaat itu baru dirasakan betapa berharganya nikmat yang diberi. Hatta beras yang sebutir, begitu bernilai sekali. Ibadah puasa dipercantikkan lagi dengan zakat, sebagai satu cara menyucikan harta, disamping membantu golongan yang fakir miskin.
Puasa sempurna menahan rohani dan rasa,
Puasa sederhana menahan indera dan juga anggota,
Puasa biasa hanya menahan lapar dan dahaga,
Lalu dimanakah puasa kita,
Adakah masih ditahap lama.
Muhasabah Cinta Ramadhan kita. Berubahlah untuk kebaikan. Kalau sebelum ini puasa kita kurang sebulan tanpa disebabkan uzur syar’ie, maka kita penuhkan. Kalau sebelum ini, terawih sekadar 8 rakaat tanpa witir dan dilakukan sendirian, maka biasakan dengan 20 rakaat beserta witir dan dilakukan berjemaah. Andai puasa sebelum ini, mulut kita tak terlepas dari umpatan, maka basahkan lidah kita dengan zikir pada Ilahi. Telinga yang banyak mendengar perkara kurang faedah, diganti dengan ayat suci Al-Quran. Mata yang rajin melihat kemungkaran, diganti dengan menatap alam ciptaan tuhan. Tangan dan kaki yang pantas mengarah kepada kemungkaran, pantas ganti dengan kemakrufan. Hati yang kotor dengan dosa, dicuci dengan pahala. Perut yang penuh diisi dengan makanan sehingga memberatkan kita dari mengerjakan amalan, diisi sekadar untuk menguatkan tulang belakang dan mampu membuat ibadah. Alah bias tegal biasa, lama kelamaan kita mampu , walau pada awal langkahnya berat. Contohi Nabi, makan ketika lapar,berhenti sebelum kenyang.
Semoga kita semua mampu menghadapi Ramadhan yang mendatang sesuai dengan harapan moga kita menjadi hamba yang bertaqwa sepanjang masa, bukan bermusim.
Noktah.
1Ogos 2011, 1 Ramadhan 1432…